12 Jun 2008

KATA-KATA SINDIRAN

Manusia merupakan mahkluk sosial, mahkluk yang bermasyarakat. Dalam bermasyarakat kita perlu berkomunikasi dengan pelbagai lapisan umur dan bangsa. Jaringan komunikasi ini bermula dari rumah dan bermula dari keluarga terdekat membawa kepada jiran tetangga, seterusnya kepada kelompok yang kita gauli.

Tujuan komunikasi adalah untuk menyampaikan sesuatu maksud, perkara atau kehendak seseorang individu itu. Komunikasi secara ringkasnya terdiri dari pertuturan, bahasa tubuh dan gerak mata. Kita menggunakan kombinasi ini setiap kali kita berkomunikasi dengan seseorang, malah ketika berbual melalui telefon.

Bangsa Melayu sebagai contoh, amat kaya dengan adab dan tatacara berkomunikasi. Dari komunikasi dua hala sehinggalah komunikasi berkelompok. Adab ketika bercakap dengan orang yang lebih tua, orang yang lebih muda dan perkara yang dititikberatkan dalam berkomunikasi adalah menjaga perasaan teman komunikasi kita itu.

Pasti pernah diantara kita mendapati rakan atau saudara mara tiba-tiba seperti menjauhkan diri ataupun kita sendiri menjauhi seseorang itu. Fenomena ini dinamakan sebagai masalah komunikasi.

Masalah komunikasi ini berpunca dari banyaknya penggunaan kata-kata sindiran dalam menyatakan maksud perbualan. Sindiran dan kiasan merupakan 2 perkara yang berbeza. Kata-kata sindiran mudah dicipta dengan hanya menggunakan bahasa pasar, bahasa perbualan semasa.


Contohnya situasi perbualan dibawah :-
Bakar : Assalamualaikum Mat, apa cerita ? Aku dengar kau dah tukar kerja ?

Ahmad : Ya, cari pengalaman baru...

Bakar : Oh.. macam tu ke ? Aku semasa umur sebaya kau ni, dah kahwin, dah ada anak ...

Ahmad terdiam seketika dan berkata dalam hatinya " ayah dan mak aku kahwin lebih awal dari kau, 21 tahun diaorang dah kahwin ... tak pun kecoh .. dia pulak yang lebih " .


Cara komunikasi Bakar yang gemar menggunakan kata-kata sindiran telah mencipta jurang komunikasi antara dia dan Ahmad. Malah Ahmad telah melabelkan Bakar dengan label yang difikirkannya sesuai. Sepatutnya Bakar harus peka dengan perasaan Ahmad pada ketika itu dan jika Bakar mempunyai sifat empati maka dialog yang akan dituturkannya adalah seperti ini :-


Bakar : Alhamdulillah, dengan berkat kerja baru kamu ni, akan bertambah lagi rezeki dan pengalaman hidup kamu...


Ramai yang terlepas pandang akan hal ini sebenarnya. Ini menyebabkan seseorang itu dijauhi mungkin selama-lamanya. Sindiran juga dilihat kononnya boleh menyampaikan maksud kepada sesuatu perkara itu. Jika inilah pendapat yang dipersetujui oleh anda, maka anda silap. Yang pastinya mereka yang genar menggunakan kata-kata sindiran ini akan dilabelkan dengan perlbagai label yang sama bunyinya dengan 'kurang ajar'.

Perlu diingati bahawa kata-kata sindiran bukanlah seni komunikasi, tetapi merupakan perosak komunikasi. Orang yang gemar bersindir tidak akan disenangi oleh teman komunikasinya. Oleh itu... Udah-udah le nyindir..



LUTHFIKIR