09 Ogos 2007

ELEMEN KEHEBATAN MANUSIA 3 - KESEDARAN

Apakah itu kesedaran? Kesedaran ialah kepekaan serta sensitiviti terhadap sesuatu perkara, kejadian, objek, perlakuan dan juga tindak balas terhadap kesan. Kesedaran timbul dengan 2 sifat yang berbeza tetapi mempunyai fungsi kehebatan yang sama iaitu pendinding kebal dalam menangkis atau menolak sesuatu yang negatif dan juga magnet terunggul dalam menarik atau menerima sesuatu yang positif. Sememangnya kesedaran merupakan salah satu mekanisma atau elemen terhebat yang dikurniakan oleh tuhan. Anda boleh memiliki pendinding kebal serta magnet terunggul ini dengan mengaktif serta meningkatkan tahap kesedaran ketahap optimum.

Anda boleh menilai tahap kesedaran anda dengan merenung diri. Anda harus menilai diri anda terlebih dahulu sebelum orang lain menilai diri anda. Anda harus percaya bahawa anda mempunyai matlamat yang hebat dan disini pentingnya matlamat. Matlamat mempunyai kuasa, kuasa yang akan menarik anda ke arahnya jika anda yakin kepada-Nya. Ini dinamakan sebagai Kuasa Matlamat dan ia merupakan salah satu prinsip dari Hukum Penarikan ( Law of Attraction ).

Apakah matlamat anda? Anda ingin berjaya? Anda ingin menjadi seorang Doktor? Anda ingin mendapatkan Master PhD? Anda ingin kereta besar, rumah besar, perniagaan besar, keluarga besar dan isteri besar? Anda ingin menjadi jutawan? Anda ingin menjadi seorang pemuzik terkenal? Anda ingin menjadi seperti Dave Mustaine? Anda ingin berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat?

Semua itu didalam genggaman anda sebenarnya dan juga jangan lupa bahawa anda memiliki satu lagi jenis kuasa iaitu Kuasa Memilih. Ini adalah sebahagian sebahagian kuasa-kuasa yang tersembunyi yang akan dapat diterokai hanya dengan kepekaan terhadap persekitaran serta kesedaran terhadap keperluan matlamat diri anda. Ia umpama baru terjaga dari mimpi samada mimpi baik atau mimpi buruk, selepas dari membuat kesilapan atau selepas membuat perkara yang betul dan dari kebanyakan kes kesan kesedaran ini timbul hanya selepas dari membuat kesilapan... ( belajar dari kesilapan )

Saya ingin membawa anda ke dalam diri anda dengan merenung fungsi-fungsi kejadian anda. Anda tidak dilahirkan secara suka-suka atau muncul secara tiba-tiba dimuka bumi ini. Sebelum anda dilahirkan ke muka bumi ini yakni alam zahir, anda telah wujud di alam batin dan ini merupakan ilmu-Nya yang Maha Bijaksana. Manusia dilahirkan untuk menjadi khalifah dan sudah pasti mempunyai matlamat.....bagi mereka yang sedar akan tujuan kejadian mereka.... Anda dilahirkan dengan nilai hidup yang tinggi dan anda mempunyai hak untuk mencipta matlamat impian kerana anda juga memiliki Kuasa Mencipta. Oleh itu, sentiasalah bersyukur kepada Allah yang Maha Pemurah kerana mengurniakan kuasa-kuasa untuk faedah bagi hamba-Nya. Cipta matlamat anda dengan menggambarkannya didalam minda anda. Manusia adalah mahkluk yang unik dan hebat....

Terdapat banyak contoh di luar sana mengenai kesedaran yang berupa kempen seperti kempen kesihatan, kempen kesesakan lalu lintas, kempen tak nak merokok, kempen kebersihan dan bermacam-macam lagi jenis kempen. Akan tetapi, pernahkah anda terdengar tentang kempen kesedaran untuk menjadi KAYA? ( Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang kempen menjadi kaya, saya cadangkan anda membeli buku RAHSIA MINDA JUTAWAN tulisan saudara Amar Mahmood. )

Sudah pasti tidak dan apa yang saya ingin tekankan ialah anda harus mencipta kempen kesedaran untuk diri anda. Gunakan Kuasa Mencipta sepenuhnya untuk mencipta beberapa kempen kesedaran untuk diri anda berdasarkan matlamat anda serta impian anda. Saya yakin anda pasti berjaya jika anda yakin dengan diri anda. Bakat mencipta tidak hanya ada pada "mereka yang terpilih" seperti jurutera, pereka fesyen, karyawan seni atau lain-lain, bahkan anda juga turut memiliki kuasa itu kerana Allah Maha Adil. Dalam konteks disini ialah mencipta kesedaran.

Anda juga boleh meningkatkan tahap kesedaran dengan menggunakan Kuasa Pemikiran Positif dan kaedah ini amat disarankan oleh kebanyakan pengamal Kuasa Minda kerana rahsianya terdapat di dalam kata-kata " Mencegah itu lebih baik dari mengubati ". Jika anda memiliki pemikiran positif serta kesedaran positif (kesedaran yang mendatangkan faedah untuk diri sendiri) secara logik anda akan nampak apa yang terbaik untuk diri sendiri. Saya ingin menyentuh sedikit tentang kesedaran positif dari aspek kesihatan, iaitu berkenaan rokok. Di Malaysia kini terlalu ramai penghisap rokok jenis tegar kerana rokok akan menyebabkan ketagihan dan ianya memang sukar dibendung kerana ia sudah menjadi tabiat. Saya amat memahami keadaan rasa "ketagih" ini kerana saya pernah menjadi seorang perokok tegar. Ianya memang sukar jika berfikiran negatif serta bersikap "tak pe".....

- Berhenti merokok itu amat mudah, jika anda tahu caranya - Ini adalah iklan kempen berhenti merokok anjuran kerajaan yang ditayangkan di televisyen baru-baru ini.

Saya pernah bertanya kepada ramai perokok tentang apa yang dimaksudkan dengan "berhenti merokok itu amat mudah jika anda tahu caranya" dan malangnya mereka hanya mengkemukakan pelbagai jawapan yang bersifat lari dari kenyataan (escapisme). Saya juga ada bertanyakan soalan yang sama kepada mereka yang tidak merokok... akan tetapi, jawapan mereka agak mengecewakan dan kebanyakkan mereka mengkemukakan kaedah yang banyak menghabiskan wang.

Sehinggalah saya bertemu dengan seorang sahabat yang baru saya kenali yang juga seorang yang berfikiran positif. Dia telah berjaya mengungkai permasalahan yang saya bawa, permasalahan itu hanya sekecil anak zarah jika kita berfikiran positif dan akan menjadi sebesar bapak gajah jika kita berfikiran negatif. Jawapannya merupakan 2 perkataan yang merangkumi sumpah dah tindakan. Jawapannya adalah -

"BERHENTI MEROKOK. Muktamad. Jangan berlengah lagi dan mulakan sekarang. Tiada alasan untuk tidak boleh berhenti merokok. Itu semua hanyalah secebis pemikiran negatif yang ada didalam minda anda. Buangkan ia jauh-jauh..."

Tiada alasan lain untuk tidak merokok melainkan anda sudah jatuh sakit dan malangnya ianya sudah terlambat. Jadi, kesimpulannya...pemikiran positif serta kesedaran positif itu merupakan pendinding kebal yang berupa pencegahan. Ianya akan muncul dalam pelbagai rupa jika anda mengaktifkan kesedaran ketahap optimum. Anda akan makin mengenali diri anda, anda makin mengenali kehebatan diri anda dan anda akan semakin menyayangi diri anda...

Anda boleh mengguna pakai kaedah yang sama untuk mengaktifkan sifat kesedaran yang berupa magnet terunggul untuk menuju matlamat ataupun dengan meningkatkan tahap kepekaan anda seperti deria bau yang tajam milik serigala, deria pendengaran yang tajam milik kelawar atau deria penglihatn yang tajam milik helang. Maksud magnet terunggul ini bukanlah cuma duduk diam tanpa mengambil apa-apa tindakan.... apa yang saya maksudkan ialah anda tertarik kepada matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Matlamat menarik anda ke arahnya dan anda tertarik ke arahnya. (Sila lawat blog shueqry untuk maklumat lanjut tentang Law of Attraction)

Jadikan helang sebagai contoh. Ia memiliki penglihatan serta pendengaran yang tajam yakni kepekaan yang tinggi tehadap makanannya dan itu merupakan matlamatnya. Tiada alasan untuk berubah kepada terhebat. Gunakan kuasa minda positif anda, gunakan kuasa keyakinan hati positif anda dan gunakan kesedaran positif anda untuk mendapatkan hasil yang membanggakan diri anda.

Jadikan diri anda seorang manusia yang mempunyai kesedaran positif.

Akhir kata..... apakah pilihan anda?





Luth.